MOM merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 15hb November 2024.
Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad, berusia 78 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, merupakan seorang pejawat awam yang telah lama berkhidmat serta menabur bakti kepada negara melalui pelbagai bidang yang diceburinya.
𝗣𝗘𝗡𝗗𝗜𝗗𝗜𝗞𝗔𝗡
Kerjaya beliau dalam perkhidmatan awam bermula dalam bidang Pendidikan, daripada seorang guru sehingga menjadi pensyarah di universiti iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kepimpinan dan aspirasi beliau dalam membawa kemajuan serta pembangunan akademik di Institusi Pengajian Tinggi Malaysia terserlah dengan pelatikan beliau ke 2 portfolio utama, iaitu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mulai tahun 2002 hingga 2005 dan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi tempoh 3 tahun bermula 16hb April 2015 hingga 15hb April 2018.
𝗣𝗢𝗟𝗜𝗧𝗜𝗞
Kerjaya Politik beliau bermula pada tahun 1983 apabila dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia ketika itu. Beliau kemudian tepilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Kawasan Seberang Jaya (N10) untuk 2 penggal iaitu 1986-1990 dan 1990-1995. Kemenangan tersebut, membawa kepada pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk satu penggal, bermula tahun 1990 hingga 1995.
Seterusnya, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor (P042) bagi penggal 1995-1999. Dalam tempoh tersebut, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bermula 4hb Mei 1995 hingga 7hb Januari 1999 dan kemudian Timbalan Menteri Pengangkutan bermula 7hb Januari 1999 hingga 14hb Disember 1999.
𝗦𝗨𝗞𝗔𝗡
Beliau juga pernah aktif sebagai pemain Bolasepak di peringkat negeri pada tahun 1980-an. Minat dan dedikasi beliau terhadap sukan Bolasepak telah mendorongnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan sukan Bolasepak, sehingga beliau dipilih untuk memegang beberapa jawatan penting, termasuk Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBSMM) serta Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang kemudian dilantik ke jawatan Setiausaha Agung FAM mulai 2005 hingga 2007.
Di samping itu, beliau turut menyumbang dalam Pergerakan Olimpik di Malaysia dengan pemilihan beliau (menang tanpa bertanding) sebagai salah seorang daripada 5 Naib Presiden MOM bagi penggal 2007 hingga 2009. Dalam tempoh tersebut, beliau telah mempengerusikan Jawatankuasa Logistik dan Acara MOM yang telah berjaya menganjurkan 2 Majlis Makan Malam Tahunan MOM, iaitu Majlis Makan Malam Tahunan MOM Ke-15 pada 4hb Februari 2008, bertempat di Tingkat 3, Kompleks Sukan Tertutup MOM, yang dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Mohd Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu dan Majlis Makan Malam Tahunan MOM Ke-16 pula berlangsung pada 12hb Disember 2008, di lokasi yang sama dan dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Malaysia ketika itu.
Jawatankuasa Logistik dan Acara MOM yang dipengerusikan beliau turut bertanggungjawab dalam mereka cipta pakaian rasmi baharu untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan bagi tempoh 2008 hingga 2011.
Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Ketua Kontinjen (Chef de Mission) bagi memimpin Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Pantai yang pertama, yang berlangsung mulai 18hb hingga 26hb Oktober 2008, di Bali, Indonesia. Di bawah kepimpinannya, Kontinjen Malaysia telah berjaya merangkul 10 pingat iaitu 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 6 pingat gangsa, sekaligus menduduki tempat ke-10 dalam senarai pungutan pingat.
𝗗𝗜𝗣𝗟𝗢𝗠𝗔𝗧𝗜𝗞
Pada tahun 2010, pada usia 64 tahun, beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Filipina. Setelah menerima watikah pelantikan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIII Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2hb Jun 2010, beliau telah menyempurnakan tugas rasmi diplomatik tersebut mulai 28hb Jun 2010 hingga 5hb Julai 2012.
“Bagi pihak MOM, kami mengiktiraf sumbangan Tan Sri Ibrahim Saad dalam pembangunan sukan negara, khususnya dalam sukan Bolasepak”,
“Beliau juga banyak berjasa dalam Pergerakan Olimpik ketika menyandang jawatan Naib Presiden MOM bagi penggal 2007 hingga 2009”,
“Sumbangan beliau dalam Pergerakan Olimpik amat kami hargai dan akan terus dikenang” ujar Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM dan Naib Presiden OCA.
Seluruh warga MOM turut berdukacita atas pemergian Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan yang besar kepada arena sukan negara. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
