Kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Berkenaan Pelancaran Hari Sukan Negara 2022 dan Visi Sukan Negara 2030 - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Berkenaan Pelancaran Hari Sukan Negara 2022 dan Visi Sukan Negara 2030



Bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih kepada Y.A.B. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, di atas pengumuman empat (4) perkara sempena Pelancaran Hari Sukan Negara 2022 dan Visi Sukan Negara 2030 semalam.

Saya berpendapat bahawa dasar yang diumumkan bukan sahaja berkisar kepada perkembangan modal insan, we iaitu atlet dan jurulatih, ia juga mengambil kira trend terkini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

1. Tawaran pemberian biasiswa dan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet-atlet yang cemerlang dan berjaya memenangi pingat bermula daripada peringkat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan kejohanan peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh Kerajaan;

Dasar ini semestinya akan menjadi pemangkin kepada atlet yang bercita-cita untuk menaiki podium dan menara gading, sekali gus meluaskan kelompok atlet memiliki intelek untuk mengurus kerjaya ketika di kemuncak dan seterusnya selepas bersara. Ia juga memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa penyertaan anak-anak mereka dalam bidang sukan tanpa dibebani isu atau bebanan kewangan.

2. Bekas-bekas atlet yang berkemahiran akan dipertimbangkan sebagai Jurulatih Pendidikan Jasmani dan akan dilibatkan dalam inisiatif pencarian bakat sukan di peringkat akar umbi melalui program My Talent Identification (MyTID);

Dasar ini akan memberi peluang kepada atlet untuk menyumbang semula dalam sukan masing-masing dan yang penting proses pengenalpastian bakat dilaksanakan oleh mereka yang pernah susah dan senang dalam sukan berkenaan. Selain itu, atlet berkemahiran berpeluang meneruskan kerjaya sebagai jurulatih.

3. Semakan dan pewartaan semula Jadual Pertama di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, yang mana jenis-jenis sukan yang tersenarai akan ditingkatkan dan sukan elektronik juga akan turut disenaraikan;
Dasar ini membuka ruang kepada sukan-sukan seperti sukan elektronik yang menjadi tarikan belia hari ini diiktiraf dan diwartakan, sejajar perkembangan masa kini.

4. Menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan bagi meningkatkan akses kepada kemudahan sukan dan secara tidak langsung meningkatkan penglibatan Keluarga Malaysia untuk bergiat aktif dalam aktiviti bersukan.

Dasar ini bukan sahaja mencetuskan budaya penyelenggaraan dan pemeliharaan yang subur, ia juga memberi opsyen dan platform kepada Keluarga Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Budaya bersukan di peringkat massa akan meluaskan kelompok masyarakat yang bersukan, sekali gus akan mendedahkan masyarakat umum kepada bibit-bibit sukan prestasi tinggi.

 


Partners & Sponsors