Pasukan Taekwondo cekal mempamer kebangkitan untuk mengutip dua pingat emas, berkat penampilan bertenaga dua beradik pada hari ke-8 (Jumaat, 13hb Mei 2023) Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 Kemboja 2023.
Setelah terlepas kilauan emas dalam acara Women’s Recognised Poomsae Team, Nur Humaira Abdul Karim tampil cemerlang memperagakan gerak geri dan teknik seni Poomsae yang kemas untuk memungut pingat emas ke-27 menerusi acara Women’s Recognised Poomsae Individual dengan meraih 7.430 mata.
Beliau mengatasi pencabar dari Singapura Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudairi yang melakar catatan 7.260 mata untuk pingat perak, disusuli atlet tuan rumah, Mang Kanithyda yang meraih pingat gangsa (7.090 mata).
Selepas itu, kakaknya, Nurul Hidayah Abdul Karim pula mengambil giliran menyinar dalam acara Mixed Recognised Poomsae Pair dengan berganding bersama Jason Loo Jun Wei untuk memungut pingat emas ke-28 untuk Kontinjen Malaysia.
Gandingan ini sememangnya dianggap prospek emas selepas menduduki tangga kedua acara sama dalam Kejohanan Taekwondo Dunia di Korea Selatan April tahun lalu.
Emas individu daripada Nur Humairah dianggap sebagai penebus kehampaan di saat harapan menggunung lebih berpusat kepada trio Nur Humairah Abdul Karim, Nurul Hidayah Abdul Karim dan Lim Jia Wei berasaskan pingat gangsa yang mereka menangi di Korea tahun lalu.
Kisah berbeza pula dirakam oleh atlet berbasikal negara, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, yang memungut pingat emas di bawah terik matahari Siem Reap.
Sehari selepas kempunan emas perlumbaan Criterium menerusi photo-finish, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menebus kekecewaan itu dengan menguasai acara Men’s Road Race Mass Start.
Pelumba berusia 31 tahun itu mempertontonkan henjutan bertenaga untuk menamatkan perlumbaan sejauh 150.6km dengan catatan masa 3:22:50s.
Beliau mengetepikan pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi dan Ronald Oranza dari Filipina yang mencatat masa sama, namun dipisahkan menerusi photo finish.
Kemenangan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki juga membolehkan Malaysia mempertahankan acara ini yang dimenangi oleh Nur Aiman Mohd Zariff pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2021.
Dalam sukan Wushu pula, juara dunia, Tan Cheong Min, sekali lagi tampil cemerlang apabila mengutip pingat emas keduanya secara peribadi dalam acara Nandao + Nangun, dua hari selepas meraih pingat emas Nanquan.
Pingat perak disumbang oleh atlet Wushu, Sydney Ching Sy Xuan acara Taijiquan + Taijijian, gandingan Moh Keen Hoo-Lim Kok Leong dalam kategori Men’s Snooker Doubles, Nurul Hidayah, Nur Humaira dan Jia Wei dalam acara Women’s Recognised Poomsae Team serta Chin Ken Haw dalam acara Men’s Poomsae Individual.
Lima pingat gangsa hadir daripada kem Wushu menerusi Pang Pui Yee (Women’s Changquan), Wong Weng Son (Men’s Changquan) dan Tan Zhi Yan (Men’s Taijiquan + Taijijian), Vicky Hwa Chang (Men’s Sanda 70kg) dan Samuel Yeo Boon Leng (Men’s Sanda 60kg lelaki) manakala Muhammad Haiqal Hanafi menyumbang pingat gangsa dalam acara Men’s 100m.
Kuartet 4x400m dianggotai oleh Umar Osman, Abdul Wafiy Roslan, Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan S. Tarshan menyumbang pingat gangsa acara itu selepas mencatat 3:08:82s dalam saingan yang dimenangi Filipina (3:07.22), diikuti Thailand (3:07.23). Kali terakhir Malaysia memenangi pingat acara itu di Myanmar 2013.
Dua lagi pingat gangsa untuk Kontinjen Malaysia disumbang oleh Farell Glen Felix dalam acara Men’s High Jump dan Surayya Rizzal dalam acara Fencing Women’s Individual Foil.
Secara keseluruhan, Kontinjen Malaysia memungut 28 emas, 35 perak dan 59 ganga setakat hari ke-8.