Srikandi Pencak Silat berstatus juara dunia, Nor Farah Mazlan, mengetuai pungutan emas Kontinjen Malaysia dengan mengungguli acaranya sekalipun tangannya bengkak gara-gara kecederaan berat pada hari keenam (Rabu, 10hb Mei 2023) Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 Kemboja 2023.
Patah hatinya akibat kegagalan mengutip emas pada edisi sebelum ini di sebalik kecederaan yang menimpa. Bahkan gadis yang berasal dari Kampung Taun Gusi, Kota Belud, Sabah itu tangkas beraksi dengan tangan kanannya tercedera selepas cuba mengimbangi badannya ketika terjatuh menentang pesilat Thailand Firdao Duromae sehari sebelum.
Pengorbanan Nor Farah Mazlan yang bergelar juara dunia di Melaka tahun lalu berbaloi apabila dia menewaskan Nadhrah Sahrin dari Indonesia 23-16 dalam acara Women’s Tanding Class A (45-50kg) di Chroy Changvar Convention Centre di Phnom Penh.
Terdahulu, pingat emas pertama Pencak Silat disumbangkan oleh Norsyakirah Muksin dalam acara Women’s Tanding Class U45 (45kg & below) selepas menewaskan pesilat Indonesia, Suci Wulandari 36-33.
Norsyakirah turut melakukan pengorbanan dalam persiapan menuju Kemboja dengan berlapar dahaga serta menjalani latihan pada tengah hari dalam cubaan menurunkan berat badannya sebanyak 15kg.
Pada sesi sebelah petang pula, Muhammad Izzul Irfan Marzuki turut membutirkan satu lagi pingat emas, yang juga emas ke-20 buat negara menerusi acara Men’s Tanding Class D (60-65kg) selepas menewaskan pesilat Indonesia, Kadek Andrey Nova Prayada dengan keputusan 39-33.
Sukan Golf menyumbang emas yang dianggap bonus apabila Ng Jing Xuen melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain golf pertama negara memenangi pingat emas Women’s Individual selepas mengatasi pemain pilihan dari Thailand, Eila Galitsky pada lubang pertama playoff untuk penentuan pingat emas di Garden City, Phnom Penh.
Jing Xuen yang berusia 15 tahun ketinggalan satu pukulan di belakang Galitsky pada permulaan pusingan tetapi bangkit melakukan 67 pukulan, lima di bawah par untuk catatan keseluruhan 203 pukulan, 13 di bawah par.
Rakan sepasukan, Foong Zi Yu turut meraih gangsa untuk negara selepas turut melakukan 67 pukulan pada pusingan terakhir dan mengumpul 208 pukulan keseluruhan.
Kali terakhir pingat emas dari sukan Golf disumbang trio Golf negara, Lim Ai Lian, Lim Siew Ai dan Irene Yeoh di Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-19, Singapura 1993.
Atlet wushu negara, Tan Cheong Min turut menghadiahkan pingat emas sulung kem wushu negara. Pada perlawanan akhir acara Women’s Nanquan juara dunia 2019 itu yang kali pertama beraksi dalam Temasya Sukan Asia Tenggara memperagakan gerak geri berseni untuk merangkul emas untuk Kontinjen Malaysia.
Di Pusat Akuatik Morodok Techo, Lee Yiat Qing menunjukkan potensi untuk digilap sehebat Datuk Pandelela Rinong Pamg OLY apabila menjuarai acara Diving Women’s platform. Beliau yang berusia 15 tahun dari Kuala Lumpur itu merakam kejutan dengan mengumpul 253.80 mata bagi menamatkan saingan di hadapan Bui Thi Hong Giang dari Vietnam (242.20 mata) dan Gladies Lariesa Garina Haga dari Indonesia meraih gangsa (228.00 mata).
Kontinjen Malaysia memungut 6 emas, 7 perak dan 10 gangsa pada hari ke-6 bagi mengumpul secara keseluruhan 21 pingat emas, 22 perak dan 42 gangsa setakat ini.
Di sebalik kilauan emas negara, dua rekod kebangsaan dicatat dalam acara renang dan olahraga.
Dalam laluan merangkul pingat perak Men’s 4x100m Freestyle, kuartet negara yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun, Lim Yin Chuen dan Terrence Ng mencatat masa 3:20.61s, sekali gus memadam rekod lama 3:21.06s yang dilakarkan oleh Keith Lim, Welson Sim, Chan Jie dan Foong Wei Tze pada Temasya Sukan Asia ke-18 Jakarta Palembang 2018.
Empat serangkai 4x100m wanita yang dianggotai Zaidatul Husniah Zulkifli, Azreen Nabila Alias, Nur Afrina Batrisyia dan Nur Aishah Rofina Aling meraih gangsa selepas memperbaharui rekod kebangsaan dengan kepantasan 44.58s, memadam catatan Nurul Faizah Asma Mazlan, S. Komalam, Siti Fatimah Mohamad dan Zaidatul di Kejohanan Olahraga Asia di India pada 2017.