Ahmad Nor Iman Hakim Rakib Meraih Pingat Emas Yang Bersejarah Untuk Kontinjen Malaysia Pada Hari Terakhir - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Ahmad Nor Iman Hakim Rakib Meraih Pingat Emas Yang Bersejarah Untuk Kontinjen Malaysia Pada Hari Terakhir



Kontinjen Malaysia memungut 4 pingat emas pada hari terakhir saingan Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 pada 16hb Mei 2023 menerusi Pasukan Dance Sports, Pasukan Hoki Padang Lelaki, Pasukan Hoki Padang Wanita dan Pasukan Kickboxing.

Atlet Kickboxing, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib, mewarnai kemuncak saingan apabila memenangi pingat emas dengan menumpaskan Muharram Syach Firman dari Indonesia dalam acara Kickboxing Men’s Low Kick -69kg.

Beliau yang pernah memenangi pingat perak dalam acara Taekwondo Men’s Kyorugi 63kg pada edisi Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-30 Filipina 2019 dan pingat gangsa Men’s Kyorugi 68kg pada edisi Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2021, telah berjaya mencatat sejarah yang unik dengan meraih pingat emas menerusi sukan yang berbeza.

Ahmad Nor Iman Hakim Rakib bertukar haluan kepada Muaythai dan Kickboxing untuk mengikut jejak langkah adiknya Ahmad Nor Iman Aliff yang menyumbang pingat emas terakhir untuk Kontinjen Malaysia di edisi Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2021 dalam acara Men’s 54kg.

Beliau hanya berjinak-jinak dengan Kickboxing apabila penganjur menggugurkan sukan Muaythai daripada jadual Temasya Sukan Asia Tenggara.

Tradisi memenangi pingat di pentas Temasya Sukan Asia Tenggara bukan perkara baharu dalam keluarga mereka kerana bapanya, Rakib Ahmad, adalah bekas petinju yang meraih pingat perak dalam acara Boxing Men’s 51kg pada edisi Jakarta 1997 dan pingat gangsa pada edisi Kuala Lumpur 2001 serta pingat gangsa dalam acara yang sama pada Temasya Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur 1998.

Di Olympic Stadium Hall, atlet Dancesports, Sam Jee Lek atau lebih dikenali sebagai “Legosam”, telah mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-30 Filipina 2019, selepas menewaskan peserta Thailand, Chinawut Chantanatrat (Cheno), 2-0 pada perlawanan akhir acara Men’s Breaking (B-Boys 1vs1). .

Rentak tarian Legosam yang menjadi atlet terakhir Malaysia menjejakkan kaki ke Kemboja pada hari Ahad, 14hb Mei 2023, menawan hati juri dengan aksi-aksi lincah lagi memukau.

Dalam perlawanan akhir acara Hoki Padang Lelaki, Malaysia menewaskan Singapura 3-0 hasil dua jaringan Amirul Hamizan Azahar pada minit ke-15 dan ke-37 sebelum Alfarinco Lance Liau Jr melengkapkan kemenangan pada minit ke-47 di Stadium Nasional Morodok Techo. Ia adalah emas ke-16 dalam acara Hoki Padang Lelaki sejak ia dipertandingkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-6 Kuala Lumpur 1971.

Skuad Hoki Padang Wanita pula merangkul pingat emas dengan menewaskan Thailand 4-1 menerusi jaringan Siti Nur Arfah Mohd. Nor, Nuraini Abdul Rashid, Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad dan Nur Afiqah Syahzani Azhar.

Tiga pingat perak pula disumbangkan oleh Yap Roy King-Cheng Su Yin dalam acara Badminton Mixed Doubles, Pasukan Kriket Lelaki menerusi acara Men’s T10 dan Pasukan Sepaktakraw menerusi acara Men’s Regu.

Manakala 12 pemenang pingat gangsa ialah Pasukan Bola Keranjang (Women’s 5×5), Leong Jun Hao (Badminton Men’s Singles), Lee Shun Yang (Badminton Men’s Singles), Low Yee Yuan dan Lee Xin Jie (Badminton Women’s Doubles), Cheng Su Yin dan Cheng Su Hui (Badminton Women’s Doubles), Pasukan Kriket (Women’s T10), Leong Chee Feng (Table Tennis Men’s Singles), Pasukan Sepaktakraw (Women’s Quadrant), Pasukan Fencing (Men’s Team Foil), Pasukan Traditional Boat Race (Traditional Boat Race Men’s 12 crew U24 800m dan Pasukan Floorball menerusi acara Men’s Team serta Women’s Team.

Koleksi pingat pada hari terakhir menjadikan pungutan rasmi Kontinjen Malaysia pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 berjumlah 175 pingat: 34 pingat emas, 45 pingat perak dan 96 pingat gangsa untuk menduduki tempat ke-7 keseluruhan daripada 11 negara.


Partners & Sponsors