Atlet Berbasikal dan Pencak Silat Digesa Memberi Kejutan Dalam Penampilan Sulung Mereka - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Atlet Berbasikal dan Pencak Silat Digesa Memberi Kejutan Dalam Penampilan Sulung Mereka



Kedua-dua orang Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Shalin Zulkifli dan Cik Sharon Wee, menggesa Pasukan Berbasikal dan Pasukan Pencak Silat untuk memperagakan keberanian walaupun majoritinya bakal beraksi di Temasya Sukan Asia Tenggara buat julung kali.

Dalam meninjau persiapan kedua-dua pasukan tersebut pada hari Rabu, 29hb Mac 2023, Datuk Shalin dan Cik Sharon meminta atlet sukan terbabit supaya menjadikan hakikat tidak dikenali lawan sebagai senjata untuk membuat kejutan.

“Sebahagian besar atlet Berbasikal dan Pencak Silat bakal membuat penampilan yang pertama. Jadi saya telah mengingatkan mereka agar tidak gentar dan menggunakan hakikat ini sebagai satu kelebihan kerana pihak lawan tidak kenal dan tahu kekuatan mereka”,

“Saya telah menggesa mereka agar sentiasa bersedia dan memberikan fokus sepenuhnya semasa latihan dan ketika Temasya nanti” kata Datuk Shalin.

𝗣𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝗯𝗮𝘀𝗶𝗸𝗮𝗹

Pasukan Berbasikal Lebuh Raya Wanita terdiri daripada 5 gadis muda. Mereka sedang menjalani latihan di Nilai, Negeri Sembilan.

Pasukan Berbasikal Lebuh Raya Lelaki pula terdiri daripada 5 pemuda. Mereka sedang menyertai Kejohanan Berbasikal Jelajah Thailand sebagai persiapan terakhir mereka ke Temasya Sukan Asia Tenggara di Kemboja.

Pasukan Berbasikal Mountain Bike (MTB) akan dibarisi oleh 8 atlet (4 lelaki dan 4 wanita). Mereka sedang menjalani latihan pusat di Kundasang, Sabah.

𝗣𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗰𝗮𝗸 𝗦𝗶𝗹𝗮𝘁

Pasukan Pencak Silat terdiri daripada 19 atlet (11 lelaki dan 8 wanita). Mereka sedang menjalani latihan pusat di Kompleks Sukan MSN di Nilai. Mereka bakal mengadakan perlawanan persahabatan bersama pesilat di Bandung, Indonesia, sebelum bertolak ke Kemboja.

📸: Majlis Sukan Negara


Partners & Sponsors