Pasukan Hoki Padang bakal turun ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 di Kemboja dengan harapan mempertahankan pingat emas bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita.
Selepas dua edisi acara Hoki Padang tidak dilangsungkan, ia kembali dipertandingkan di Kemboja nanti, sekali gus menghidangkan peluang terbaik untuk rata-rata pemain muda untuk mempamerkan kemampuan mereka di pentas Asia Tenggara.
Sebagai rekod Malaysia merupakan juara bertahan bagi kategori lelaki dan wanita, dengan kejayaan meraih kedua-dua pingat emas pada edisi Ke-27 (Myanmar 2013), Ke-28 (Singapura 2015) dan edisi Ke-29 (Malaysia 2017).
Ketua Kontinjen, Datuk Mohd Nasir Ali, dan timbalannya Cik Sharon Wee yang hadir untuk meninjau persiapan pasukan Hoki Padang Lelaki di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil teruja dan gembira dengan komitmen atlet di sesi latihan yang amat berintensiti tinggi.
“Melihat kepada latihan yang intensif, kedua-dua pasukan tampak komited dengan misi di Kemboja. Pasukan Hoki Padang Lelaki Kebangsaan bakal diperkuatkan dengan kombinasi 4 pemain senior dan 4 pemain muda yang sudah menembusi skuad senior”,
“Saya yakin mereka mampu meraih pingat emas dan kemenangan ini nanti diharapkan bakal menyemarakkan lagi semangat pemain bagi menghadapi beberapa kejohanan utama selepas ini seperti Sukan Asia, Piala Asia dan Piala Dunia Remaja” kata Datuk Mohd Nasir.
𝗣𝗮𝘀𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗛𝗼𝗸𝗶 𝗣𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴
Pasukan Hoki Padang terdiri daripada 36 atlet (18 lelaki dan 18 wanita). Mereka sedang menjalani latihan di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil. Pasukan wanita bakal ke China menyertai kejohanan jemputan di sana pada bulan depan manakala pasukan lelaki akan ke Australia untuk mengadakan sesi latihan dan perlawanan persahabatan bersama kelab hoki tempatan.
📸: Majlis Sukan Negara