Kenyataan Media – Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Kenyataan Media – Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024



Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil maklum kontroversi berhubung reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia dan majlis pelancarannya di The Exchange (TRX), bersempena penganjuran sambutan Hari Olimpik Sedunia  pada hari Ahad, 23 Jun 2024 yang lepas.

Sebagai badan yang menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih dan pegawai di semua Temasya Pelbagai Sukan, MOM mengambil sepenuh tanggungjawab atas kekeliruan yang berlaku.

Bagi menjelaskan perkara ini, MOM ingin memaklumkan perkara berikut:

• Yonex merupakan penaja pakaian rasmi Kontinjen Malaysia sejak 2014.

• Corak dan reka bentuk serta motif pakaian dikeluarkan pada setiap kitaran baharu penajaan MOM, kebiasaannya bermula daripada Sukan SEA dan berakhir di Sukan Olimpik seperti rekaan baju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dipakai sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020.

• MOM menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk pandangan atlet yang berpendapat motif dan reka bentuk untuk penyertaan di temasya berprestij seperti Sukan Olimpik yang menjadi pentas tertinggi penampilan atlet negara, memerlukan pembaharuan.

• Reka bentuk untuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia akan melalui kitaran baharu bermula dengan Sukan SEA Thailand 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Berhubung logo MOM yang memaparkan bendera Malaysia sedang berkibar, ia adalah sebahagian daripada logo MOM yang merangkumi kibaran bendera Malaysia bersama lima gegelung Olimpik.

• Ia bukanlah bendera Malaysia atau Jalur Gemilang yang dipinda atau diubah suai sesuka hati. Apabila digunakan dalam versi lima warna atau polychrome, warna lima gegelung tersebut dari kiri ke kanan, biru, kuning, hitam, hijau dan merah. Biru, hitam dan merah di sebelah atas, manakala kuning dan hijau di sebelah bawah. Versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

• Andai latar belakang tersebut adalah selain daripada putih, versi monochrome atau satu warna mesti digunakan. Sebagai contoh jika latar belakang hitam, logonya hendaklah digunakan dengan warna contrast satu warna sahaja seperti putih, kuning atau biru.

Niat asal pasukan reka bentuk memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas yang digabungkan dengan hitam berserta logo MOM berwarna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi Kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.

Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpik menepati garis panduan IOC.

Bagaimanapun MOM, selaku badan bukan Kerajaan, yang tidak berasaskan keuntungan, yang diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 206 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) oleh IOC sejak 1954, MOM mengamalkan dasar terbuka.

Selepas mengambil kira maklum balas daripada semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan para peminat sukan negara, MOM akur bahawa reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.

Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang.

MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat jelata .

Sesungguhnya MOM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan yang membina.

Kami juga menghargai prinsip KBS dan agensi Kerajaan lain yang menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan tidak berasaskan keuntungan.

Akhir kalam, besarlah harapan kami agar seluruh rakyat Malaysia sama-sama mendoakan kejayaan buat Kontinjen Malaysia dengan penuh semangat dan bersatu-padu sebagaimana kesungguhan yang ditunjukkan dalam memberi pandangan terhadap pakaian rasmi Kontinjen Malaysia.

 

TAN SRI DATO’ SRI (DR.) MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Presiden

28 Jun 2024


Partners & Sponsors