Satu majlis doa selamat khusus bagi mendoakan kejayaan Kontinjen Malaysia yang akan berjuang di Temasya Sukan Olimpik XXXIII Paris 2024 telah diadakan di Surau Al-Faizin, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada hari Khamis, 11 Julai 2024.
Majlis yang dimulakan dengan bacaan Yassin, doa selamat, disusuli solat Zohor dan disudahi dengan solat hajat dipimpin oleh Ustaz Mohamad Rozie Mohd Rejab.
Majlis berkenaan dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Encik Abdullah Hasan. Turut hadir Ketua Kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad, Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub serta pengurusan tertinggi dan pegawai sukan Majlis Sukan Negara.
Turut hadir pakar pecut 100m negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang kini menjalani latihan di Bukit Jalil.
Kontinjen Malaysia yang diwakili oleh 26 atlet dan 40 pegawai, akan memulakan aksi di Paris pada 25 Julai depan bermula dengan acara Memanah sebelum tabir Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 disingkap secara rasmi pada keesokannya.
Semoga segala urusan Kontinjen Malaysia di Paris dipermudahkan.