MOM Merakamkan Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali (B) – Olympic Council of Malaysia


MOM Merakamkan Ucapan Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali (B)



MOM merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali (B), yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu, 1hb Oktober 2025, pada usia 88 tahun.

Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali (B) merupakan seorang tokoh ketenteraan negara yang telah mencurahkan khidmat bakti yang amat besar dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara. Beliau telah menabur jasa dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 36 tahun sejak tahun 1957 hingga 1992. Beliau dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia Ke-9, mulai 6hb Oktober 1987 sehingga 11hb April 1992, sebelum bersara daripada perkhidmatan ketenteraan.

”Bagi pihak MOM, saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali sambil mengenang jasa dan sumbangan besar beliau, bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah juga terhadap pembangunan sukan negara pada era 1990-an” kata Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM, merangkap Naib Presiden OCA.

“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam menjalankan amanah sebagai Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Temasya Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur 1998 (SUKOM Ninety-Eight Berhad) mulai tahun 1993, yang telah membawa kejayaan gemilang kepada penganjuran temasya berprestij tersebut”.

”Kepimpinan, visi dan dedikasi beliau telah memastikan Malaysia muncul sebagai anggota Komanwel pertama di Asia yang berjaya menganjurkan temasya berprestij tersebut dan Temasya Sukan Komanwel XVI Kuala Lumpur 1998 sering disebut sebagai antara yang paling berjaya dalam sejarah penganjuran serta mendapat pujian meluas daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF)”.

”Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan tertinggi kepada Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali, MOM telah telah mengiktiraf beliau dengan menginduksikan namanya ke dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada tahun 2018” ujar Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria.

Seluruh warga MOM turut berdukacita dengan pemergian Allahyarham Jeneral Tun Hashim Mohd Ali (B) dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan besar kepada arena sukan negara. Semoga rohnya dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.

Al-Fatihah.


Partners & Sponsors