Pemergian Allahyarham Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Pemergian Allahyarham Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab



MOM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Selasa, 28hb November 2023.

Allahyarham Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab, berusia 81 tahun, merupakan seorang pemimpin sukan tanah air yang sangat disegani ramai kerana beliau telah menabur bakti dalam pembangunan sukan Berbasikal negara melebihi tiga (3) dekad sejak 1986.

Penglibatan beliau dalam sukan Berbasikal bermula pada tahun 1986 apabila dipilih sebagai Presiden untuk memimpin Persatuan Berbasikal Negeri Melaka (PBNM). Kepimpinan beliau yang sangat menyerlah di peringkat Negeri Melaka telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dengan pemilihan beliau sebagai Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selama 33 tahun sejak 1990.

Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, pembangunan sukan Berbasikal negara telah mencatat prestasi yang sangat membanggakan dengan kejayaan menaiki podium dan merangkul sejumlah 19 pingat emas, 23 pingat perak dan 32 pingat gangsa dalam Kejohanan Berbasikal Asia (Asian Cycling Championships).

Pencapaian sukan Berbasikal yang paling gemilang dibawah kepimpinan beliau adalah kejayaan Dato’ Mohd Azizulhasni Awang OLY merangkul pingat emas dalam acara Keirin Lelaki dalam Kejohanan Berbasikal Dunia UCI pada tahun 2017.

Dalam penyertaan Temasya Pelbagai Sukan pula, Pasukan Berbasikal Kebangsaan telah berjaya menyumbang pelbagai pingat untuk Kontinjen Malaysia dibawah pengelolaan MOM seperti berikut:

1. Sukan Asia Tenggara – 97 pingat: 37 pingat emas, 35 pingat perak dan 25 pingat gangsa

2. Sukan Asia – 19 pingat: 4 pingat emas, 6 pingat perak dan 9 pingat gangsa

3. Sukan Komanwel – 6 pingat: 1 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa

4. Sukan Olimpik – 2 pingat menerusi Dato’ Mohd Azizulhasni Awang OLY iaitu pingat gangsa dalam Temasya Sukan Olimpik XXXI Rio 2016 dan pingat perak dalam Temasya Sukan Olimpik XXXII Tokyo 2020, masing-masing dalam acara Keirin Lelaki.

Selain berbakti dalam pembangunan sukan Berbasikal di peringkat kebangsaan, beliau turut diberi mandat untuk meneraju Persekutuan Berbasikal di peringkat antarabangsa dengan pemilihan untuk memegang beberapa jawatan utama seperti berikut:

1. Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) – Setiausaha Kehormat (1996-2005), Ahli Lantikan (2005-2009) & Naib Presiden (2009-2017)

2. Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) – Presiden (2001-2021)

Beliau juga merupakan seorang Pegawai Teknikal yang bertauliah dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal sukan Berbasikal untuk Temasya Pelbagai Sukan seperti berikut:

1. Sukan Asia (2018)

2. Sukan Asia Tenggara (2001, 2003, 2005, 2007, 2009, 2011, 2013, 2015 & 2019)

“Bagi pihak MOM, kami merekodkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap sumbangan Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab dalam pembangunan sukan Berbasikal serta Pergerakan Olimpik di Malaysia melebihi tiga dekad”,

“Kesungguhan dan keikhlasan yang telah dicurahkan oleh Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab untuk pembangunan sukan Berbasikal negara selama ini menjadi teladan yang terbaik kepada generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan PKBM” kata Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM.

Seluruh warga MOM turut berduka-cita di atas pemergian Allahyarham Datuk Haji Abu Samah Haji Abd Wahab dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan yang besar kepada arena sukan negara khususnya sukan Berbasikal. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.


Partners & Sponsors