Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 telah berlangsung pada hari Khamis, 13hb April 2023, di Cyberview Resort and Spa, Cyberjaya. Bengkel tersebut telah dipengerusikan oleh Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Kontinjen Malaysia.
Dalam Bengkel tersebut, setiap Persatuan Sukan Kebangsaan yang terlibat dalam penyertaan ke Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 telah mengadakan perbincangan secara mendalam bersama jurulatih, pengurus pasukan serta pegawai-pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai prestasi atlet yang terkini dan seterusnya menetapkan sasaran pingat masing-masing.
Sasaran pingat untuk Kontinjen Malaysia akan diumumkan secara rasmi oleh Y.B. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, ketika Majlis Penyerahan Jalur Gemilang pada 30hb April 2023 nanti.
Turut hadir semasa Bengkel tersebut adalah dua (2) Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Shalin Zulkifli dan Cik Sharon Wee serta Encik Norhashimi Hussain (Pengurus Besar MOM), Encik Jefri Ngadirin (Pengarah Bahagian Atlet MSN) dan Encik Mohamad Fawwaz Jamal (Ketua Cawangan Prestasi Tinggi ISN).
“Bagi pihak MOM, kami berpendapat bahawa sasaran pingat yang telah ditetapkan oleh Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan adalah realistik”,
“Insya-Allah sasaran tersebut akan tercapai”,
”Kami juga telah mengingatkan kepada semua atlet kebangsaan agar dapat mengelakkan sebarang kecederaan dalam misi mereka untuk mengejar pingat di Kemboja nanti” nasihat Datuk Mohd Nasir Ali kepada semua atlet.
- Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 memberikan ucaptama.
- Datuk Mohd Nasir Ali melakukan perbincangan bersama En. Ogustian Anthony Samy, Pegawai Pasukan Bolasepak Kebangsaan dan En. Mohamad Shazril Abd Rahman pegawai MSN (kiri).
- Dari kiri En. Marjan Abdullah, Pengurus Pasukan Judo Kebangsaan melakukan perbincangan bersama Jurulatih, En. Md Nashriq Md Nassir.
- En. Sukumaran Subramaniam, Pengurus Pasukan Karate Kebangsaan (kiri) bersama En. Kunasilan Lakanathan, jurulatih melakukan pembentangan sasaran.
- Ong Suh Chyn, Pengurus Pasukan Terjun Kebangsaan bersama Carlyse Chan Wee Chick, Jurulatih melakukan pembentangan sasaran.
- En. Jefri Ngadirin, Pengarah Bahagian Atlet MSN memberikan ucaptama.
📸: Majlis Sukan Negara