Presiden, Majlis Eksekutif, Lembaga Eksekutif dan Pengurusan MOM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Dato’ Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan, Mantan Naib Presiden MOM, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Rabu, 6hb September 2023.
Allahyarham Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil, berusia 78 tahun, merupakan seorang pemimpin sukan yang telah menyumbang bakti dalam Pergerakan Olimpik di Malaysia sejak awal 1990an. Beliau mula dipilih sebagai Timbalan Presiden kemudian sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mulai 1993 hingga 2000.
Beliau juga dipilih untuk memegang jawatan Naib Presiden MOM untuk penggal mulai 14hb November 1998 hingga 14hb November 2000. Dalam tempoh perjawatan tersebut, beliau turut dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik XXVI Atlanta 1996 dimana Pasukan Badminton telah menyumbang 2 pingat untuk Kontinjem Malaysia iaitu 1 pingat perak menerusi Cheah Soon Kit OLY (kini Datuk)-Soo Beng Kiang OLY (kini Datuk) dalam acara Bergu Lelaki dan 1 pingat gangsa menerusi Rashid Sidek OLY (kini Datuk) dalam acara Perseorangan Lelaki.
”Kepimpinan Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil dalam Pergerakan Olimpik di Malaysia terutamanya semasa menjadi Presiden di BAM dan Naib Presiden MOM amat kami hargai” kata Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM.
Seluruh warga MOM turut berduka-cita di atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan yang besar kepada arena sukan negara khususnya sukan Badminton. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.