Thor Kembali Mengengam Pingat Emas Untuk Kontinjen Malaysia - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Thor Kembali Mengengam Pingat Emas Untuk Kontinjen Malaysia



Kontinjen Malaysia diceriakan dengan kejayaan atlet sukan billiard, Thor Chuan Leong yang telah berjaya menyumbang pingat emas ke-29 menerusi acara Men’s Snooker Singles Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 Kemboja 2023 pada hari Ahad, 14hb Mei 2023.

Thor Chuan Leong yang kembali beraksi di pentas selepas kali terakhir tampil di Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-20 Kuala Lumpur 2017 berjaya menewaskan atlet Thailand, Akani Songsermasawad 4-1 di perlawanan akhir.

Kedua-dua butir pingat gangsa untuk acara tersebut telah dimenangi oleh Men Sophanith (Kemboja) dan seorang lagi atlet Malaysia Lim Kok Leong.

Sepanjang penyertaan beliau dalam Temasya Sukan Asia Tenggara sejak 2007, Thor Chuan Leong Berjaya menyumbang sejumlah 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 4 pingat gangsa untuk Kontinjen Malaysia.

Sementara itu, pasukan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dari sukan Esports hampir-hampir mencipta sejarah apabila meraih pingat perak menerusi Men’s Event.

Gandingan Muhammad Danial Mohamad Fuad (CikguGais), Idreen Abdul Jamal (Momo), Mohamad Zul Hisham Mohd Noor (Xam), Muhammad Nazhan Mohd Nor (Chibi) dan Muhammad Syafizan Najmi (Izanami) terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Filipina, yang memenangi pingat emas dengan keputusan 3-0.

Meskipun cemerlang dengan merakam empat kemenangan berturut-turut dalam peringkat kumpulan untuk mara menewaskan Kemboja 2-1 pada separuh akhir, impian Malaysia mengutip emas disekat Filipina yang merupakan gandingan pilihan.

Turut memungut perak ialah gandingan Darryl Chia dan Muhammad Almie Muhamad Yakup dalam Billiard Men’s 9-Ball Double, Yeoh Thean Jern dan Tan Yu Huat (Chess Men’s Xiangqi Rapid Team) serta Choong Javen dan Wong Qi Shen (Table Tennis Men’s Team).

Kontinjen Malaysia turut meraih lapan pingat gangsa menerusi Jee Xin Ru (Chess Xiangqi Standard Singles), Lim Kok Leong (Billiard Men’s Snooker Singles), Alice Chang Li Sian-Im Li Ying (Table Tennis Women’s Team), Siti Nor Aisyah Shahabuddin (Judo Women’s Individual 70kg), Fu Cern Put Thai (Taekwondo Men’s Under 58kg), Chris Chew Vi Min (Finswimming Men’s 50m Bi Fins), Muhammad Ridzuan Johari (Boxing 60kg), dan pasukan PUBG (Esports PUBG Mixed Team Event).

Selepas 10 hari dengan baki dua hari sebelum tirai Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 dilabuhkan, Kontinjen Malaysia telah memungut 29 emas, 41 perak dan 79 gangsa serta menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan.


Partners & Sponsors