Kontinjen negara merangkul 3 pingat emas pada hari ke-7 Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 di Kemboja pada 11 Mei, 2023, menerusi tiga atlet, diketuai Muhammad Irfan Shamshuddin, Andre Anura dari Sukan Olahraga dan Enrique Maccartney Harold dari Sukan Terjun.
Muhammad Irfan Shamshuddin, atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 27 tahun melakukan lemparan sejauh 57.83 meter untuk meraih pingat emas ke-6 secara berturut-turut sejak tampil kali pertama pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-27 Myanmar 2013.
Turut menyumbang pingat emas ialah atlet Triple Jump negara, Andre Anura yang mengutip pingat emas ke-2 peribadi secara berturut-turut meskipun baru pulih daripada kecederaan tumit.
Andre Anura melakukan catatan sejauh 16.06m pada lompatan kelima, sekali gus meneruskan penguasaan negara dalam acara itu sejak Muhammad Hakimi Ismail mencatat hatrik pingat emas dari Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-28 Singapura 2015 hingga Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-30 Filipina 2019.
Penerjun negara, Enrique Maccartney Harold memastikan dominasi Malaysia dalam menyapu bersih semua empat emas yang ditawarkan selepas meraih emas acara Men’s Platform.
Pencapaian itu sekali gus mengulangi kejayaan negara membawa pulang kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan di Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2021 pada tahun lalu.
Beliau yang julung kali mewakili negara dalam temasya dwitahunan itu, berada di kelas tersendiri apabila mengumpul 442.95 mata selepas enam pusingan bagi menghadiahkan pingat emas ke-4 negara dalam sukan terjun selepas Kimberley Bong, Muhammad Syafiq Puteh dan Lee Yiat Qing.
Sebanyak 9 pingat perak diraih oleh Kontinjen negara. Pingat ini disumbangkan oleh Wong Weng Soon menerusi acara Wushu Jianshu Qiangshu, pasukan Ping Pong yang dianggotai Ho Ying, Karen Lyne, Alice Chang, Tee Ai Xing dan Im Li Ying, Bertrand Rhodict Anak Lises (Diving – Men’s Platform), Men’s Criket T20, trio Pétanque Mohammad Muiz Ezham Mohd Rizan, Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Nur Thahira Tasnim dalam Petanque Mixed Triples 2 Women 1 Men, pasukan Ping Pong lelaki, Leong Chee Feng, Choong Javen, Wong Qi Shen, Danny Ng, Brandon Fong, pasukan Badminton lelaki dan Steve Kiew Hoe Yean menerusi acara Swimming Men’s 400m Freestyle.
8 pingat gangsa pula disumbangkan oleh Pang Pui Yee dalam acara Wushu Women’s Jianshu Qiangshu, Nur Aisyah Mohamad Zubir (Cycling Women’s Criterium), Jasnina Jasmine Johan, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom dan Amirol Mukminin Mohd Dali (Petanque Mixed Triples 2 Women 1 Men), pasukan wanita Esports Mobile Legend, Muhammad Akashah Ramli (Kun Khmer 60kg), Wan Muhammad Fazri Wan Zahari (Athletics Men’s 800m), Nani Sahirah Maryata (Athletics Women’s Shot Put) dan gandingan Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoo menerusi acara Billiard – Men’s Snooker 6-Red Doubles.
Malaysia menduduki tangga ke-7 dari segi pungutan pingat selepas hari ke-7 dengan 24 pingat emas, 31 pingat perak dan 50 pingat gangsa secara keseluruhan.