Balingan Emas Grace Bawa Sinar Untuk Kontinjen Negara Pada Hari Keempat - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Balingan Emas Grace Bawa Sinar Untuk Kontinjen Negara Pada Hari Keempat



Peserta baling tukul besi negara, Grace Wong, menyumbang pingat emas pertama untuk skuad olahraga pada hari keempat Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 di Kemboja apabila memecah rekod temasya di Stadium Morodok Techo.

Atlet berusia 23 tahun itu selesa di bawah bahang matahari Phnom Penh untuk mencatat balingan sejauh 61.87m pada balingan keempat, sekali gus memadam rekod temasya miliknya 59.24m di Kuala Lumpur 2017.

Peserta Thailand, Mingkamon Koomphon dengan balingan 57.62m, mengutip pingat perak, manakala rakan sepasukan Grace, Nurul Hidayah Lukman, memungut gangsa (49.61m).

Hasil perguruan hampir dua bulan di China membawa hasil bagi Grace yang mengutip pingat emas ketiganya menerusi lima penampilan sejak edisi di Singapura pada 2015.

Sepanjang latihan di bawah cuaca sejuk di China, atlet berasal dari Sarawak itu melakukan catatan terbaiknya 57.24m sepanjang 2023 sebelum selesa menyesuaikan diri dengan keadaan di Kemboja.

Dalam pada itu, Zaidatul Husniah mengulangi pencapaiannya di Kuala Lumpur 2017 apabila memungut pingat gangsa dalam acara 200m wanita dalam acara yang dimenangi pelari pilihan, Veronica Shanti Pereira.

Di Pusat Akuatik Morodok Techo, Kimberly Bong menuai emas dalam acara 3m papan anjal dengan pungutan mata 276.30, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi Wendy Ng di Vietnam 2021.

Di Sihanoukville, pengorbanan dua serangkai peluncur layar, Hafizin Mansor dan Izry Hafiezy Fitry Azri yang meraikan Aidilfitri di barat daya Kemboja di Sihanoukville, berdekatan Teluk Thailand, membawa hasil apabila mereka mengutip emas acara masing-masing.

Selepas 13 perlumbaan, Hafizin menjuarai acara bot RSX manakala Izry Hafiezy mengungguli acara bot RS One.

Secara keseluruhan pada hari keempat temasya pada 8 Mei 2023, Kontinjen Malaysia mengumpul 10 pingat emas, 13 pingat perak dan 25 pingat gangsa, penambahan 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 12 pingat gangsa berbanding pungutan hari ketiga.

Foto kredit: Nazirul Roselan BERNAMA


Partners & Sponsors