Kontinjen Olahraga mengutip dua emas menerusi acara 400m lelaki dan wanita dengan penuh gaya di Stadium Morodok Techo pada hari kelima (Selasa, 9 Mei 2023) Temasya Sukan Asia Tenggara ke-32 Kemboja 2023 hasil larian Shereen Samson Vallabouy dan Umar Osman – kali pertama emas berganda acara itu dihimpun sejak edisi di Jakarta, 26 tahun lalu.
Shereen yang berguru di Amerika Syarikat, meraih emas selepas mencatat masa 52.53 saat, sekali gus memaksa juara empat kali berturut-turut dari Vietnam, Nguyen Thi Huyen, di tangga kedua dengan catatan 53.27s manakala rakan sepasukannya, Nguyen Thi Hang ketiga (53.84s).
Selepas itu giliran Umar Osman turun beraksi. Beliau tampil di temasya dwitahunan itu buat julung kali, mencatat 46.34 saat bagi mengutip emas sambil memadamkan rekod kebangsaan milik Muhammad Zaiful Zainal Abidin 46.41s yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Brunei pada 2001. Pingat perak dimenangi pelari Filipina, Umajesty Wesley Williams yang mencatat 46.52s, diikuti rakan senegaranya, Frederick Cabatu (46.63).
Umar adalah pelari 400m kesembilan dalam sejarah negara yang mengutip pingat emas, 400m lelaki selepas M. Jegathesan (Tan Sri Dr) pada di Rangoon 1961, Asir Victor di Kuala Lumpur 1965 dan Bangkok 1867, T. Krishnan di Kuala Lumpur 1971, Sukninder Singh di Kuala Lumpur 1977, Rabuan Pit (Jakarta 1979), Nordin Jadi (Bangkok 1985 dan Jakarta 1987) Romzi Bakar Jakarta 1997 dan Zafril Zuslaini (Laos 2009).
Kemenangan berganda itu adalah kali pertama sejak Romzi dan N. Manimagaly menjuarai acara masing-masing di Temasya Sukan Asia Tenggara Jakarta 1997.
Bagi Shereen yang memenangi gangsa di Kuala Lumpur 2017, dia menyamai pencapaian ibunya Josephine Mary Singarayar dalam acara yang sama di Jakarta 1987. Bapanya Samson pula mengutip emas 800m lelaki di Temasya Sukan Asia Tenggara Kuala Lumpur 1989 dan Manila pada 1991.
Terdahulu, di Pusat Akuatik Morodok Techo, Muhammad Syafiq Puteh menghadiahkan emas acara Terjun 3m Papan Anjal yang dipertahankan, kepada isterinya Norashikin Azman, yang mengandungkan anak kedua mereka. Syafiq turut menujukan kemenangan itu kepada anaknya, Nuraisya Zulaikha, yang bakal menyambut ulang tahun ketiga Jumaat ini.
Meskipun tidak berpuas hati dengan terjunan terakhirnya yang tidak disempurnakan dengan kemas, Syafiq mengumpul 377.85 mata, disusuli rakan sepasukan, Gabriel Gilbert Daim (365.25) dan penerjun Singapura, Avvir Tham Pac Lun (360.40).
Pada sebelah malam, Steven Khiew Hoe Yean mengulangi pencapaian di Hanoi 2021 apabila memenangi acara Renang 200m Gaya Bebas selepas mencatat masa 1 minit 48.91 saat, menewaskan atlet Thailand, Dulyawat Kaewsriyong yang mencatat masa 1:49.29s, manakala gangsa milik Nguyen Huy Hoang dari Vietnam.
Moh Keen Hoo akhirnya melengkapkan koleksi emas kelima Kontinjen Malaysia apabila bangkit menyumbang emas pertama Snuker dalam acara Billiard 6-Reds Singles meskipun ketinggalan 3-0 kepada Sitthideth Sakbieng dari Laos.
Pungutan pingat Kontinjen Malaysia pada hari ke-5 ialah 5 emas, 2 perak dan 7 gangsa.
Pingat perak turut disumbang oleh Phee Jinq En dalam acara Renang 100m Kuak Dada Wanita, manakala tujuh gangsa diraih oleh empat atlet Gimnastik Artistik – Ally Hamuda (gelung, lelaki), Ng Chun Chen (palang selari, lelaki), Luqman Al Hafiz Zulfa (palang tunggal) dan Mohd Sharul Aimy (lombol kuda), pasukan Tenis lelaki, Mohd Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Muhammad Adam Haiqal Mohd Zaki dan Mohd Fadzrul Ismansyah Mohd Faizal dalam acara beregu lelaki Pétanque.
Secara keseluruhan, Kontinjen Malaysia mengumpul 15 emas, 15 perak dan 32 gangsa setakat hari ke-5 Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32.
- Shereen Samson Vallabouy pemenang pingat emas Women’s 400m. foto kredit – Nazirul BERNAMA
- Umar Osman pemenang pingat emas Men’s 400m. Foto kredit – Nazirul BERNAMA
- Aksi larian Shereen Samson Vallabouy.
- Aksi larian Umar Osman.
Foto kredit : Gambar upacara pingat – Nazirul BERNAMA