MOM telah mengumumkan secara rasmi senarai atlet dan pegawai yang terpilih untuk membentuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 pada hari Isnin, 13hb Mac 2023, di Putrajaya.
Dalam Majlis Pengumuman yang julung-julung kali diadakan tersebut, Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, telah menyerahkan Watikah Pemilihan kepada wakil untuk 914 orang anggota Kontinjen Malaysia (677 orang atlet dan 237 orang pegawai), yang akan menyertai 34 jenis sukan dalam Temasya tersebut, yang bakal berlangsung mulai 5hb hingga 17hb Mei 2023 nanti.
Para atlet dan pegawai daripada 34 jenis sukan tersebut terdiri daripada sukan Akuatik (Terjun, Finswimming, Renang & Polo Air), Olahraga, Badminton, Bola Keranjang, Sukan Billiards, Tinju, Catur (Ouk Chatrang, Xiangqi), Kriket, Berbasikal, DanceSport, E-Sports, Lawan Pedang, Floorball, Bolasepak, Golf, Gimnastik, Hoki, Jet Ski, Judo, Karate, Martial Arts (Jujitsu & Kickboxing), Obstacle Race, Pencak Silat, Petanque, Pelayaran, Sepaktakraw, Ping Pong, Taekwondo, Tenis, Lumba Perahu Tradisional, Triathlon, Bola Tampar, Angkat Berat dan Wushu.
Dalam ucaptamanya, Tan Sri Dr. Norza berkata MOM mengambil inisiatif untuk menganjurkan Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia atas kedudukannya selaku Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan di Malaysia, iaitu badan yang mempunyai hak eksklusif untuk mengelolakan penyertaan Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan di peringkat antarabangsa.
Para atlet dan pegawai yang menerima Watikah Pemilihan daripada Tan Sri Dr. Norza tersebut adalah antara mereka yang terpilih menerusi proses saringan dalam Jawatankuasa Pemilihan MOM yang bersidang pada 14hb Februari 2023 dan 3hb Mac 2023 yang lalu.
Kriteria pemilihan adalah berpandukan kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan MOM seperti berikut:
a. Kategori A – atlet individu mestilah sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan Ke-3 teratas dalam acara masing-masing dan kedudukan Ke-4 teratas bagi atlet berpasukan dalam ranking Asia Tenggara.
b. Kategori B – atlet individu dan berpasukan Bawah 23 tahun mestilah berada dalam kedudukan Ke-6 teratas dalam acara masing-masing dalam senarai ranking Asia Tenggara.
“Kebenaran yang diberikan dan pemilihan ini jangan dipersia-siakan kerana Temasya Sukan Asia Tenggara menjadi medan pengenalan di peringkat antarabangsa sebelum anda mengintai peluang untuk beraksi dalam Temasya Sukan Asia dan Temasya Sukan Olimpik nanti” nasihat Tan Sri Dr. Norza kepada para atlet yang terpilih.
Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif MOM yang hadir untuk menyaksikan penyampaian Watikah Pemilihan adalah Dato’ Paduka Mumtaz Jaffar (Naib Presiden), Dato’ Chong Kim Fatt (Naib Presiden), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad (Naib Presiden), Dato’ Mohd Nazifuddin (Setiausaha Agung), Dato’ Haji Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin (Bendahari), Cik Moira Tan Siew See (Penolong Setiausha Agung), Encik Chan Foong Keong (Penolong Setiausaha Agung) dan Datuk Mohd Nasir Ali (Penolong Bendahari, selaku Ketua Kontinjen Malaysia).
Turut hadir dalam Majlis Pengumuman adalah Dato’ Sri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos (Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan, Peraturan dan Disiplin MOM), Encik Nicholas Chan Yee Soon (Pengarah Akademi Olimpik Nasional), Encik Ahmad Faedzal Md Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara) dan dua orang Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia iaitu Datuk Shalin Zulkifli dan Cik Sharon Wee.
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menyerahkan Watikah Pemilihan kepada Cik Nur Izzati Yaakob, Kapten Pasukan Bola Keranjang Wanita Kebangsaan, sambil disaksikan oleh Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif MOM.
- Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif MOM yang menghadiri Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023.
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria sedang memberi ucaptama.
- Datuk Mohd Nasir Ali, selaku Ketua Kontinjen Malaysia, sedang memberi ucapan alu-alaun.
- Datuk Shalin Zulkifli, selaku Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, sedang memberi pengenalan mengenai Suruhanjaya Atlet MOM.
- Cik Sharon Wee, selaku Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, sedang memberi taklimat berkenaan Atlet dan Media.
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menyerahkan Watikah Pemilihan kepada Encik Sukumaran Subramaniam, Pengurus Pasukan Karate Kebangsaan, sambil disaksikan oleh Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif MOM.
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menyerahkan Watikah Pemilihan kepada Cik Tan Cheong Min, Atlet Pasukan Wushu Kebangsaan, sambil disaksikan oleh Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif MOM.
- Gambar berkumpulan para atlet dan pegawai yang telah menerima Watikah Pemilihan bersama Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dan Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif yang lain.
- Gambar berkumpulan kesemua atlet dan pegawai yang menghadiri Majlis Pengumuman Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 bersama Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dan Ahli-Ahli Lembaga Eksekutif yang lain.










