MOM Sambut Baik Kewujudan Jawatankuasa Road To Gold - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


MOM Sambut Baik Kewujudan Jawatankuasa Road To Gold



MOM menyambut baik keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mewujudkan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) dalam usaha merealisasikan pingat emas pertama di Temasya Sukan Olimpik XXXIII yang bakal berlangsung mulai 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 di Paris.

Presiden MOM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, menyifatkan keputusan Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Hannah Yeoh, mewujudkan projek khas itu sebagai langkah berani bagi membawa “marginal gains” kepada atlet yang merupakan prospek pingat di Paris serta Temasya Sukan Olimpik XXXIV Los Angeles 2028.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Y.B. Hannah Yeoh dan Tan Sri Dr. Norza dan turut dianggotai Ketua Kontinjen, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang juga Timbalan Presiden MOM, Timbalan Ketua Kontinjen, Datuk Nicol Ann David, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, serta Ketua Setiausaha KBS, Ts. Dr. K. Nagulendran, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Encik Ahmad Faedzal Md Ramli serta lagenda Badminton Datuk Wira Lee Chong Wei dan bekas Kapten Hoki Negara, Dato’ Mirnawan Nawawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Encik Stuart Ramalingam, dilantik selaku Penyelaras Projek, dibantu oleh Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Cik Michelle Chai selaku Penolong Penyelaras Projek.

“Selain menentukan senarai atlet untuk dipersiapkan ke Paris 2024, Jawatankuasa ini akan segera mengenal pasti elemen-elemen yang harus memberi nilai tambah dalam memastikan prospek pingat kita mampu menterjemahkan kelebihan-kelebihan kecil ke dalam bentuk kemenangan,” kata Tan Sri Dr. Norza.


Partners & Sponsors