Majlis Penyerahan Jalur Gemilang untuk Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 Kemboja 2023 telah diadakan pada hari Ahad, 30hb April 2023, di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Dalam Majlis Penyerahan tersebut, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM, telah menyerahkan Jalur Gemilang kepada Y.B. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, dan seterusnya diserahkan kepada Datuk Mohd Nasir Ali, selaku Ketua Kontinjen Malaysia. Datuk Mohd Nasir Ali kemudian menyerahkan Jalur Gemilang tersebut kepada atlet Karate, En. Sharmendran Ragonathan yang telah diumumkan sebagai Pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ketika Majlis Pembukaan Rasmi Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 pada hari Rabu, 5hb Mei 2023 nanti.
Dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang tersebut, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, menyanjung keberanian Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang telah mengemukakan atlet-atlet muda masing-masing untuk beraksi dalam Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-32 dan menyifatkannya sebagai satu bentuk pelaburan masa depan.
“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan yang berani memilih atlet-atlet muda setelah Jawatankuasa Pemilihan MOM menetapkan kriteria pemilhan atlet untuk Kategori B mesti berusia di bawah 23 tahun”,
“Bagi atlet berpasukan pula, lebih kurang 30% atlet senior telah dipilih untuk menganggotai Kontinjen Malaysia sebagai pembimbing kepada atlet-atlet muda dalam mempersiapkan mereka melalui satu proses ke arah menghadapi Temasya Sukan Asia Tenggara 2025 dan 2027 serta Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026 serta Sukan Olimpik 2028,” kata Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria.
Kontinjen Malaysia yang dibarisi seramai 928 orang, terdiri daripada 677 orang atlet (402 orang lelaki dan 275 orang wanita) dan 251 orang pegawai.
Daripada jumlah 677 orang atlet tersebut, seramai 387 orang (57%) adalah atlet berusia bawah 23 tahun, manakala seramai 440 orang (65%) adalah atlet yang bakal membuat penampilan sulung di Temasya Sukan Asia Tenggara.
Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 33 daripada 36 jenis sukan yang dipertandingkan dan 340 daripada 582 acara.
Terdahulu, Y.B. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, dalam ucapan beliau, telah mengumumkan sasaran pingat untuk Kontinjen Malaysia iaitu 40 pingat emas, 37 pingat perak dan 64 pingat gangsa. Sasaran ini adalah kesimpulan yang tercapai hasil daripada Bengkel Penetapan Sasaran Pingat yang dihadiri bersama oleh wakil MOM, MSN, ISN dan Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan yang terlibat baru-baru ini.
Pada Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-31 Vietnam 2021 yang lalu, Kontinjen Malaysia telah berjaya memungut sebanyak 39 pingat emas, 45 pingat perak dan 90 pingat gangsa untuk menduduki tempat ke-6 keseluruhan.
- Datuk Mohd Nasir Ali, Ketua Kontinjen Malaysia, mengibarkan Jalur Gemilang selepas menerimanya daripada Y.B. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
- Tetamu Kehormat yang hadir semasa pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang. Kiri-Kanan: 1. Y.B. Dato’ Shahrul Zaman Yahya (Naib Presiden MOM) 2. Dato’ Ahmad Shapawi Ismail (Ketua Pengarah MSN) 3. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu (Ketua Setiausaha KBS) 4. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM) 5. Y.B. Hannah Yeoh (Menteri Belia & Sukan) 6. Y.B. Adam Adli (Timbala Menteri Belia & Sukan) 7. En. Abdullah Hasan (Timbalan Ketua Setiausaha KBS) 8. En. Ahmad Faedzal Mohd Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif ISN) 9. Dato’ Chong Kim Fatt (Naib Presiden MOM)
- Ahli Lembaga Eksekutif MOM yang turut hadir dalam Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia. Kiri-Kanan: 1. Dato’ Mohd Nazifuddin (Setiausaha Agung MOM) 2. Dato’ Chong Kim Fatt (Naib Presiden MOM) 3. Dato’ Paduka Mumtaz Jaffar (Naib Presiden MOM) 4. Y.B. Dato’ Shahrul Zaman Yahya (Naib Presiden MOM)
- Y.B. Hannah Yeoh Menteri Belia & Sukan sedang memberikan ucaptama.
- Tetamu Kehormat di atas pentas utama. Kiri-Kanan: 1. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu (Ketua Setiausaha KBS) 2. Y.B. Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) 3. Y.B. Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) 4. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM) 5. En. Abdullah Hasan (Timbalan Ketua Setiausaha KBS)
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria mengibarkan Jalur Gemilang.
- Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menyerahkan Jalur Gemilang kepada Y.B. Hannah Yeoh.
- Datuk Mohd Nasir Ali menyerahkan Jalur Gemilang kepada En. Sharmendran Ragonathan (Atlet Karate), Pembawa Jalur Gemilang untuk Kontinjen Malaysia.
- En. Muhammad Haiqal Hanafi (Atlet Olahraga) telah mengetuai bacaan ikrar yang disertai oleh kesemua anggota Kontinjen Malaysia.
- Sesi fotografi anggota Kontinjen Malaysia bersama Tetamu Kehormat.










