Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) | Selasa 20 Jun 2023 - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) | Selasa 20 Jun 2023



Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenakan proses saringan ketat bagi membentuk Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 Hangzhou 2022 pada 23 September-8 Oktober 2023 dengan menjadikan nisbah pungutan pingat emas berbanding jumlah atlet sebagai penanda aras utama.

Selain Kategori A yang dikhaskan untuk atlet yang layak secara merit iaitu menduduki empat tangga teratas dalam ranking Asia, Jawatankuasa Pemilihan MOM menyaring Kategori B dengan menetapkan kedudukan enam tangga teratas dalam Asia sebagai syarat untuk dipertimbangkan bagi pemilihan.

Ini berbanding Kategori B yang asal yang memberi ruang kepada lapan tangga teratas untuk dipertimbangkan menganggotai Kontinjen Negara.

Pengerusi Jawatankuasa, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria, menegaskan jawatankuasa berpandangan temasya Sukan Asia bukan medan pendedahan untuk atlet muda sebagaimana Sukan SEA.

Jawatankuasa memberi rasional di sebalik keputusan itu bagi mengelakkan nisbah atlet bagi setiap pingat emas yang dimenangi tidak merosot.

Berdasarkan pungutan 7 emas, 13 perak dan 16 gangsa di Sukan Asia ke-18 di Jakarta pada 2018, Kontinjen Negara mencatat nisbah 59.6 atlet bagi setiap pingat emas berpandukan penyertaan 417 atlet.

Pada temasya Sukan Asia di Incheon pada 2014, Kontinjen Negara mencatat nisbah 55.40 atlet bagi setiap emas, iaitu 5 pingat emas berbanding 277 atlet, manakala di Guangzhou 2010, nisbah 37 atlet bagi setiap pingat emas dicatat hasil pungutan 9 pingat emas berbanding 333 atlet.

Di Doha pada 2006, nisbah yang dicatat ialah 30.5 atlet bagi setiap pingat emas yang dimenangi, iaitu 244 atlet dan 8 pingat emas.

“Jawatankuasa tidak mahu menanggung risiko menamakan jumlah atlet yang besar tetapi hasilnya, jumlah pungutan pingat merosot.

“Kami juga mengingatkan semua persatuan agar memastikan semua atlet yang layak mengikut Kategori A tidak mengambil mudah kedudukan mereka yang layak secara automatik.”

Tan Sri Norza menegaskan bahawa Jawatankuasa Pemilihan mahu mengirim isyarat jelas bahawa Sukan Asia adalah platform untuk penyediaan menghadapi temasya terbesar Sukan Olimpik.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM di Wisma MOM hari ini, wakil daripada 25 persatuan membentangkan hujah masing-masing, iaitu daripada sukan Akuatik, Badminton, Berbasikal, Bola Keranjang, Ekuestrian, Go, Gimnastik, Hoki, Jujitsu, Kabaddi, Karate, Kriket, Memanah, Mendayung, Menembak, Olahraga, Pelayaran, Perlumbaan Perahu Tradisional, Ragbi, Sepak Takraw, Skuasy, Taekwondo, Tinju, Xiangqi dan Wushu.

Panel Jawatankuasa Pemilihan MOM diketuai oleh Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria dan dibantu oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato’ Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Encik Ahmad Faedzal Ramli serta Encik Zainal Abas selaku panel bebas.

Turut hadir dalam mesyuarat ini Naib presiden MOM dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia ke-19 Hangzhou, Dato’ Chong Kim Fatt, Setiausaha Agung MOM, Dato’ Mohd Nazifuddin, Pengurus Besar MOM, En. Fong Wan Hor, Encik Norhashimi Hussain, Pengarah Bahagian Atlet MSN, En. Jefri Ngadirin dan Dr. Azril Syazwan Mohd Ali daripada ISN.


Partners & Sponsors