Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Program Advokasi AntiRahsuah Badan Sukan Kebangsaan dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Sukan Kebangsaan pada hari Khamis, 3hb Ogos 2023, di Dewan Banquet, Casa 4, Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur.
Penganjuran Program Advokasi AntiRasuah Badan Sukan Kebangsaan merupakan inisiatif bagi menyempurnakan keperluan tadbir urus pengurusan dana selaras dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 [Akta 694].
Program tersebut telah dirasmikan oleh Y.B. Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, sambil disaksikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria (Presiden MOM) dan kedua-dua Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Encik Abdullah Hasan dan Puan Ramona Mohd Razali.
”Saya amat berharap Badan Sukan Kebangsaan dapat menguruskan dana dengan baik tanpa penyelewengan”,
”Para atlet pula diingatkan agar menjauhi rasuah atau kegiatan match-fixing”,
”Agenda sukan negara perlu dipertahankan supaya berintegriti dan berjaya memperolehi kejayaan yang mengharumkan nama negara di mata dunia” petik daripada ucapan Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.
Y.B. Hannah Yeoh dalam ucapan beliau juga berkata kerjasama di antara KBS dan SPRM bertujuan untuk memastikan badan-badan sukan di Malaysia bebas daripada sebarang bentuk unsur rasuah.
”Pengurusan badan sukan peringkat kebangsaan perlu didedahkan dengan maklumat dan kefahaman berkaitan tadbir urus yang baik seperti tatakelola kewangan bagi mengelakkan kesalahan-kesalahan rasuah dan salah guna kuasa” ujar Y.B. Hannah Yeoh sebelum merasmikan Program Advokasi AntiRasuah Badan Sukan Kebangsaan.
Dato’ Chong Kim Fatt, Naib Presiden MOM, selaku Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Ke-19 Hangzhou 2022, telah diberi penghormatan untuk memimpin bacaan Ikrar Bebas Rasuah bagi pihak Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan gabungan MOM.
- Perwakilan Rasmi MOM Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria (tengah) diiringi oleh Dato’ Kim Fatt (kiri) dan Datuk Mohd Nasir Ali (kanan).
- Dato’ Chong Kim Fatt memimpin bacaan Ikrar Bebas Rasuah.
- Para Tetamu Kehormat dan Perwakilan Badan Sukan Kebangsaan mengikuti bacaan Ikrar Bebas Rasuah. Para Tetamu Kehormat (dari kanan): Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Puan Ramona Mohd Razali, Y.B. Hannah Yeoh, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki dan Encik Abdullah Hasan.
- Dato’ Chong Kim Fatt (kiri) dan Dato’ Subramaniam Raman Nair (kanan) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bagi pihak Persatuan-Persatuan Sukan Kebangsaan gabungan MOM dan MPM sambil disaksikan oleh Y.B. Hannah Yeoh (tengah).
- Y.B. Hannah Yeoh (kanan) menyerahkan Ikrar Bebas Rasuah yang telah lengkap ditandatangani oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM kepada Dato’ Chong Kim Fatt (tengah) sambil disaksikan oleh Dato’ Subramaniam Raman Nair (kiri).
- Gambar berkumpulan Perwakilan Badan Sukan Kebangsaan bersama para Tetamu Kehormat.