The Demise of Tok Puan Zainon Dato’ Hussein - Olympic Council of Malaysia Olympic Council of Malaysia


The Demise of Tok Puan Zainon Dato’ Hussein



Presiden, Lembaga Eksekutif dan Pengurusan MOM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tok Puan Zainon Dato’ Hussein yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Khamis, 28hb Julai 2022.

Tok Puan Zainon Dato’ Hussein, berumur 84 tahun, merupakan isteri kepada Tan Sri Hamzah Abu Samah, Presiden MOM Ke-4 dan juga adik kepada Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, Perdana Menteri Malaysia Ke-2 serta Presiden MOM Ke-3.

Tok Puan Zainon Dato’ Hussein juga merupakan seorang pengiat sukan yang berjasa dalam pembangunan sukan negara, khususnya sukan Hoki Wanita. Beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua Persatuan Hoki Wanita Malaysia (PHWM) mulai 1973 hingga 1986. PHWM dibawah kepimpinan beliau telah mengusahakan pelbagai program pembangunan serta mempertingkatkan penyertaan wanita dalam sukan Hoki. Sepanjang kepimpinan beliau, PHWM telah memperkenalkan Kejohanan Hoki Wanita Kebangsaan untuk merebut Piala Tengku Budriah. Malaysia juga telah menyertai Kejohanan Hoki Piala Dunia pertama yang dianjurkan oleh International Federation of Women’s Hockey Association (IFWHA) pada tahun 1975. Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Kejohanan Hoki Piala Dunia Ke-3 pada 1983.

Beliau juga telah mencetuskan idea untuk menubuhkan Federation of Asian Ladies Hockey Association (FALHA) pada 1975 dan dipilih sebagai Presiden pertama FALHA hingga 1986. Sumbangan terbesar beliau semasa memegang tampuk kepimpinan FALHA adalah kejayaan untuk menyenaraikan sukan Hoki Wanita dalam program sukan Temasya Sukan Asia. Sukan Hoki Wanita telah dipertandingan di dalam Temasya Sukan Asia Ke-9 Delhi 1982, dimana Pasukan Hoki Wanita Malaysia telah berjaya memenangi sebutir pingat gangsa.

Beliau telah mengusahakan status PHWM sebagai ahli gabungan MOM pada 1974 dan menganggotai International Hockey Federation (FIH) pada 1976. PHWM kemudian bergabung dengan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) untuk membentuk Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pada 2005.

Berdasarkan khidmat bakti beliau dalam pembangunan sukan negara, beliau telah disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada tahun 2004. Beliau juga telah dinobatkan Anugerah Wanita dan Sukan MOM yang telah disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj semasa Majlis Makan Malam Tahunan dan Malam Anugerah MOM Ke-26 pada hari Khamis, 19hb Disember 2019.

Seluruh warga MOM turut berduka-cita di atas pemergian Tok Puan Zainon Dato’ Hussein dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan besar kepada arena sukan negara, khususnya sukan Hoki Wanita. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.


Partners & Sponsors