Presiden, Majlis Eksekutif, Lembaga Eksekutif dan Pengurusan MOM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Naim Mohamad, yang telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 12hb Mei 2023.
Allahyarham Datuk Naim Mohamad, berusia 69 tahun, merupakan seorang aktivis masyarakat dan pemimpin sukan yang sangat disegani ramai. Beliau telah menabur bakti dalam pembangunan sukan khususnya dalam sukan Berbasikal dan pernah menggalas beberapa potfolio utama seperti beikut:
1. Setiausaha Kehormat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (1988-2006)
2. Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (2006-2016)
3. Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia
4. Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi
Beliau juga aktif dalam Pegerakan Olimpik yang diterajui oleh MOM. Beliau merupakan wakil tetap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ke Mesyuarat Majlis MOM sepanjang perjawatan sebagai Setiausaha Kehormat dan Timbalan Presiden PKBM.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pegawai Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan dibawah pengelolaan MOM seperti berikut:
1. Pengurus Pasukan Berbasikal ke Temasya Sukan Asia Ke-16 Guangzhou 2010
2. Pengurus Pasukan Berbasikal ke Temasya Sukan Olimpik XXX Tokyo 2012
Pada tahun 2011, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-26 Jakarta-Palembang 2011, dimana Kontinjen Malaysia yang diketuai beliau telah memenangi sejumlah 189 pingat: 58 pingat emas, 50 pingat perak dan 81 pingat gangsa, untuk menduduki tempat ke-4 keseluruhan. Pencapaian tersebut telah melepasi sasaran 45 pingat emas yang telah disasarkan.
“Bagi pihak MOM, kami merekodkan penghargaan tertinggi terhadap sumbangan Datuk Naim Mohamad dalam Pergerakan Olimpik di Malaysia selama hampir 30 tahun” ujar Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, Presiden MOM.
Seluruh warga MOM turut berduka-cita di atas pemergian Allahyarham Datuk Naim Mohamad dan menyifatkan ia sebagai suatu kehilangan yang besar kepada arena sukan negara khususnya sukan Berbasikal. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan yang beriman.
- Datuk Naim Mohamad (25hb Mei 1954 – 12hb Mei 2023)
- Datuk Naim Mohamad (barisan depan, kedua dari kanan) bergambar bersama Y.A.M. Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar (Presiden MOM ketika itu) dan sebilangan anggota Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik XXX London 2012 dalam Perkampungan Atlet.
- Datuk Naim Mohamad (tengah) bergambar bersama sebilangan anggota Kontinjen Malaysia dan pengawai perhubungan (LO) semasa Majlis Pembukaan Rasmi Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-26 Jakarta-Palembang 2011 pada hari Jumaat, 11 November 2011.
- Datuk Naim Mohamad (tengah) bergambar bersama Encik Kumar Thangaraju (kiri), Penolong Setiausaha Kehormat MOM (ketika itu) dan Encik Fong Wan Hor (kanan), Penolong Pengurus Besar MOM (kini Pengurus Besar) di Sultan Hotel & Residence Jakarta semasa tempoh Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-26 Jakarta-Palembang 2011.
- Datuk Naim Mohamad (kedua dari kanan) yang diiringi oleh Encik Fong Wan Hor (ketiga dari kanan) telah ditugaskan oleh MOM untuk memulangkan 4 pingat emas acara 4x400m Lelaki yang dimenangi oleh kuartet Malaysia kepada Jawatankuasa Pengelola Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-26 Jakarta-Palembang 2011 (INASOC) ekoran kes positif doping yang membabitkan atlet Malaysia, pada hari Rabu, 10hb Oktober 2012.
- Datuk Naim Mohamad bersama Pegawai INASOC dan pegawai perhubungan (LO) yang berkhidmat untuk Kontinjen Malaysia ketika Temasya Sukan Asia Tenggara Ke-26 Jakarta-Palembang 2011. Barisan hadapan (kiri-kanan): Ibu Nur Laily (Pengurus Perhubungan NOCs INASOC), Datuk Naim Mohamad, Bapak Indra Kartasasmita (Pengarah INASOC), Encik Fong Wan Hor & Bapak Irham Pradipta Fadli (Ketua LO)
- Datuk Naim Mohamad (barisan hadapan, pertama dari kanan) bersama anggota Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Ke-16 Guangzhou 2010 berarak masuk ke Pulau Haixinsha, tapak Majlis Pembukaan Rasmi Temasya tersebut pada hari Jumaat, 12hb November 2010. Nota: Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia Ke-16 Guangzhou 2010 adalah Dato’ Zolkples Embong (kemudian Dato’ Seri) dan Pembawa Jalur Gemilang adalah Encik Koo Kien Keat (Badminton).







